KOTA BHARU – Perbadanan Stadium Kelantan memberitahu kira-kira RM400,000 diperlukan untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku di stadium itu akibat banjir baru-baru ini.
Setiausahanya, Azi Rahimee Mohamed berkata, kerosakan itu termasuk struktur padang yang perlu dibaik pulih semula untuk kegunaan akan datang.

“Struktur padang mengalami kerosakan teruk kerana rumput mati selepas ditenggelami air akibat banjir dan ia perlu melalui proses penanaman semula untuk pemulihan,” katanya.

Tambahnya, akibat kerosakan itu membuatkan padangnya masih belum boleh digunakan untuk sebarang aktiviti sukan termasuk perlawanan persahabatan menjelang Liga Super musim baharu ini.
Beliau berkata, proses baik pulih padang sedang giat dijalankan dan ia dijangka pulih sepenuhnya Febuari ini.

“Cuma dalam masa terdekat ini kita mengesyorkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) supaya tidak mengadakan apa-apa perlawanan persahabatan sebelum perlawanan sebenar.
“Sekiranya ada perlawanan persahabatan dalam tempoh terdekat ini kita minta ia diadakan (bermain) di stadium luar Kelantan,” katanya.
 
Top