Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan satu mesyuarat khas hari ini (13 Januari 2015) dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelaras bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa pasca banjir.
    
Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata usaha tersebut adalah bagi mengelakkan berlakunya pertindahan bantuan di kawasan terjejas banjir manakala kawasan lain pula tertinggal dan bantuan tidak sampai.
    
"Kerajaan dan NGO-NGO telah menawarkan pelbagai bantuan kepada mangsa-mangsa pasca banjir bagi membantu mereka.
    
"Sehubungan itu, MKN akan mengadakan mesyuarat khas dengan NGO bagi menyenaraikan bantuan yang akan disampaikan, apa yang mereka akan buat dan juga jumlah dana supaya tidak berlakunya pertindihan.
    
"Dengan ini, fokus bantuan juga boleh diberi di tempat lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandantagani memorandum kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), MKN dan Jabatan Audit Negara di sini, hari ini.
   
Beliau berkata, kira-kira 20 NGO dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu.
    
Sementara itu, Thajudeen berkata 28 waris mangsa banjir yang meninggal akibat banjir akan menerima wang ehsan RM5,000 pada 17 Januari ini.
    
Katanya seramai 82,000 ketua keluarga iaitu mereka yang berpindah ke pusat pemindahan banjir dan juga yang tidak berpindah akan mendapatkan wang ehsan banjir RM500.
    
Beliau menambah bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meneliti nama-nama mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan banjir manakala mereka yang tidak berpindah boleh mendaftar di Pejabat Daerah untuk proses pembayaran.
    
"MKN akan membuat semakan terakhir dan membuat pembayaran," katanya.
    
Sebelum ini, Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan khusus RM500 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara yang akan diuruskan oleh MKN. - Bernama
 
Top