GARA-GARA ghairahnya kegiatan pemusnahan kawasan tadahan hujan pada bahagian Ulu Kelantan atas alasan dimajukan dengan tanaman sawit dan getah klon, Sungai Kelantan yang dulunya jernih kini keruh pekat.

Ianya merupakan kawasan takungannya seluas kira-kira 11,900 km² di timur laut Malaysia dan termasuk dalam sebahagian daripada Taman Negara, mengalir ke arah Laut China Selatan.
Taburan hujan di kawasannya adalah di antara 0 mm semasa musim kemarau iaitu pada bulan Mac hingga Mei dan sehingga 1750 mm semasa musim tengkujuh yakni dari bulan November hingga Januari. Kemusnahan anak-anak sungai boleh menyebabkan banjir besar berlaku.

Ekoran dari kegiatan pemusnahan kawasan hutan juga menyebabkan purata hakisan daripada kawasannya adalah 500 m³/s dan dipercayai menjadi punca berlakunya masalah air Sungai Kelantan keruh pekat dan tidak selamat digunakan.

Berdasarkan tinjauan rambang yang dibuat ke atas para penduduk lanjut usia di sepanjang sungai, asalnya air Sungai Kelantan mengalir jernih, sehingga ikan-ikan dapat dilihat berenangan.

Air Sungai Kelantan juga asalnya menjadi punca bekalan air, termasuk untuk mandi manda, membasuh pakaian dan minuman tetapi sejak tahun-tahun 1990-an ke mari, airnya keruh pekat dan tidak selamat digunakan.

Orang awam mahukan jabatan dan agensi yang berkaitan dengan penjagaan sepakat berpandangan bahawa hanya ada satu cara untuk pulihkan air Sungai Kelantan dari keruh pekat, yakni hentikan keghairahan pemusnahan hutan bagi apa tujuan sekali pun.

Penguatkuasaan bagi menghalang, mengesan, memburu, mengenal pasti, menahan, mendakwa dan menghukum pihak yang terlibat dalam secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan pemusnahan kawasan tadahan hujan perlu dilakukan secara proaktif.

Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan dan Persatuan Nelayan Dan Petani Negeri Kelantan telah mewujudkan Jawatankuasa Menyelamatkan Sungai, Pantai, Kayu Kayan dan Alam Sekitar MSPKAS, dipengerusikan aktivitis masyarakat Mohd. Nor Ibrahim, awal tahun lepas.

Bagaimanapun gerak-kerja jawatankuasa berkenaan kini terbantut kerana Mohd. Nor Ibrahim meninggal dunia kira-kira lapan bulan lepas sehingga pengganti beliau ditemui.

Alfatihah untuk beliau.


 
Top