KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengenal pasti kawasan seluas 460
hektar di Kuala Krai dan Gua Musang bagi pembinaan rumah kekal untuk mangsa
banjir yang kehilangan kediaman akibat bencana itu bulan lepas.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 360 hektar tanah dikenal pasti di Kuala
Krai manakala 100 hektar lagi di Gua Musang.
Kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan akan membina rumah kekal
berkenaan di kawasan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat
Exco negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Menurutnya, perkara itu dipersetujui oleh kerajaan Pusat dan
kerajaan Kelantan pada mesyuarat khas pelan tindakan pasca banjir yang
dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya
semalam.
Kerajaan Pusat mengumumkan dua model rumah setingkat tiga bilik
bernilai RM48,000 seunit bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah
sepenuhnya.
Muhyiddin berkata, rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu
menggunakan kaedah binaan terus di atas tanah dan binaan di atas tiang setinggi
lapan kaki dari aras tanah.
Rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu,
satu tandas dan satu bilik mandi.
Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan akan membina
600 unit rumah kekal itu melalui dana yang disumbangkan pelbagai pihak di
kawasan berkenaan manakala bakinya akan dibina kerajaan Pusat.
"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
(MAIK) akan membiayai pembinaan 300 unit rumah manakala selebihnya daripada
dana," katanya.
Menurutnya mangsa yang sebelum ini mendiami tanah rizab sungai
tidak akan dibenarkan membina rumah di kawasan terbabit.
Beliau juga berkata, kerajaan Pusat bersetuju memberi bantuan
antara RM5,000 dan RM10,000 kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah. -
Bernama