KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan perjumpaan dengan pemimpin beberapa bahagian Umno di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Difahamkan, perjumpaan bersama Presiden Umno itu diadakan bagi melihat dan membincangkan gerak kerja jentera parti di peringkat akar umbi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perjumpaan yang bermula kira-kira 9 pagi itu berlangsung lebih  kurang tiga jam dan pemimpin bahagian yang terlibat membuat pertemuan secara bergilir.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Perak, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pertemuan seumpama itu biasanya diadakan apabila menjelang pilihan raya, namun ibu pejabat Umno telah mula bergerak agresif untuk melakukan persiapan lebih awal.

"Presiden ingin mendengar dan melihat usaha-usaha yang telah kita lakukan. Selain itu kita juga berbincang tentang masalah di peringkat bawahan, pertengahan dan atasan serta sistem penyampaian yang perlu dipertingkatkan," katanya kepada  pemberita selepas pertemuan itu.   

Difahamkan mulai minggu ini Presiden Umno dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bergilir-gilir mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno bahagian di ibu pejabat Umno.

 
Top