DAVOS (Switzerland): Kedudukan ekonomi dan kewangan negara yang kurang memberangsangkan sekarang bukan krisis ekonomi seperti yang pernah dihadapi pada 1997-1998.

Sebaliknya, apa yang berlaku sekarang adalah cabaran ekonomi yang perlu ditangani oleh kerajaan dengan mengambil pelbagai langkah sesuai dengan cabaran yang dihadapi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan kali ini amat berbeza dengan krisis 1997-1998 dan meminta pembangkang tidak terus menjejaskan keyakinan rakyat dan antarabangsa mengenai kedudukan ekonomi negara sekarang.

Katanya, langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin tepat dan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa

Beliau yang menjadi Timbalan Menteri Kewangan II dan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ketika itu menjelaskan pada masa itu negara menghadapi krisis keyakinan sehingga berguni-guni wang mengalir keluar, termasuk ke bank di Singapura.

"Ketika ini nilai mata wang kita menurun antara 10 hingga 11 peratus tetapi pada tahun 1998 nilai jatuh daripada RM2.50 kepada hampir RM5 berbanding satu dolar Amerika Syarikat," katanya kepada media Malaysia ketika ditemui di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini.

Selain itu, rezab luar negara Malaysia menurun secara mendadak kepada beberapa bilion dolar AS berbanding kira-kira AS$100 bilion rezab yang ada sekarang.

Mustapa berkata, bank perdagangan sekarang juga tidak hadapi masalah dan mempunyai rizab serta kecairan yang tinggi jika dibandingkan dengan apa yang berlaku ketika krisis berkenaan.

Beliau yang terbabit secara langsung ketika krisis itu berkata, kerajaan melaksanakan kawalan mata wang dengan mengikat ringgit pada kadar RM3.80.

Langkah lain ialah menubuhkan Dana Harta untuk kukuhkan sektor hartanah dan Dana Modal bagi mengukuhkan bank yang amat lemah ketika itu.

"Kali ini kita tidak melakukan perkara seumpama itu, sebaliknya merancang penstrukturan semula ekonomi dengan langkah penyesuaian," katanya.

Sambil menyifatkan tindakan pembangkang sebagai keterlaluan dan tidak bertanggungjawab, Mustapa menegaskan, dakwaan itu dibuat tanpa berdasarkan fakta.

"Sepatutnya mereka buat kajian mendalam dan objektif terlebih dahulu sebelum menuduh negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi," katanya.


 
Top