21 Jan 2015- Pas akan mendapatkan laporan kesihatan dari semasa ke semasa berhubung kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum mengadakan majlis doa selamat mahu pun solat hajat.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau kini mendapatkan berita mengenai keadaan kesihatan Nik Abdul Aziz daripada anaknya, Nik Mohamad Abduh.

“Kita doakan yang terbaik untuk Tuan Guru (Nik Abdul Aziz) supaya beliau kembali sihat. Apa pun, kita tunggu laporan kesihatan beliau daripada keluarganya,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan, meminta rakyat di negara ini mendoakan kesihatan Nik Abdul Aziz.

Katanya, sebagai orang Islam, doa adalah salah satu cara menyembuhkan penyakit.

“Berdoalah dengan cara masing-masing dan diharapkan Nik Abdul Aziz kembali sihat. Mungkin kita akan lakukan solat hajat nanti,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan kesihatan Nik Abdul Aziz sentiasa diterima melalui Nik Mohamad Abduh.


 
Top