KUALA LUMPUR 26 Jan. -
Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) ‘dipersilakan’ untuk meninggalkan
Pas sekiranya pendirian pertubuhan itu tidak lagi sehaluan dengan parti.
Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang berkata, ‘bahtera’ yang dikemudikan setiap parti dalam
pakatan pembangkang adalah berbeza.
Beliau secara berkias
meminta semua pihak di dalam Pas agar jangan membocor dan merosakkan ‘bahtera’
parti sekiranya mereka merasakan ‘bahtera’ itu bergerak perlahan serta
mempunyai kekurangan.
“Pasma ini ibarat
mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain
yang kamu suka, yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi.
“Pergilah ke kapal
DAP, kapal Parti Keadilan Rakyat (PKR), kalau nak cepat lagi ke Putrajaya
pergilah ke bahtera UMNO,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook milik
beliau hari ini.
Pada 26 Oktober lalu,
Abdul Hadi membidas Pasma kerana mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama
Pas yang melarang ahli-ahli parti menyertai pertubuhan tersebut.
Beliau ketika itu
turut mempersoalkan status Pasma yang kononnya bergerak selari dengan
kepentingan parti dan secara sinis menggambarkan tidak tahu asal usul mereka
yang dianggap ‘entah daripada spesies mana’.
Pasma yang diketuai
Presidennya, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan pada 11 Ogos lalu ketika
Pas dilanda konflik dalaman yang serius ekoran perbezaan pendirian dalam
kalangan pemimpin-pemimpinnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.
Pasma yang didalangi
kumpulan Anwarinas dan sering mengkritik pimpinan tertinggi Pas termasuk Abdul
Hadi tidak disenangi oleh golongan ulama di dalam parti.
Phahrolrazi dalam
wawancara dengan portal berita propembangkang, Malaysiakini yang disiarkan pada
21 Januari lalu mendakwa, Abdul Hadi seolah-olah tidak berminat lagi untuk
berada dalam pakatan pembangkang.
Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu membuat andaian tersebut berdasarkan sikap
Abdul Hadi yang enggan menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang
selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sementara itu, Abdul
Hadi turut mengingatkan tentang peranan penting yang dimainkan Majlis Syura
Ulama Pas dalam memandu parti agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.
“Kita menggabungkan
para ulama yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad
mengikut kesesuaian zaman,” ujarnya.
Beliau juga
menyarankan ahli-ahli Pas mencontohi pendekatan bekas Timbalan Presiden Pas,
Allahyarham Datuk Dr. Zulkifli Muhammad yang sanggup menarik balik cadangan
membuka keahlian bersekutu kepada orang bukan Islam setelah dibantah oleh
golongan majoriti dalam parti.