KUALA KRAI - Kira-kira 50 penduduk Kampung Lepan Jenut atau lebih dikenali sebagai 'Kampung Lemang' di Manek Urai di sini, kembali menjual lemang sejak lima hari lepas, selepas tiga minggu tidak berniaga berikutan banjir besar.

Walaupun jajahan itu terjejas teruk sehingga menyukarkan penjual lemang mendapatkan bekalan beras pulut, buluh minyak dan daun pisang untuk membuat makanan tradisional itu, namun ia tidak menghalang mereka untuk kembali beroperasi.

Seorang penjual lemang, Mazri Mahassan, 35, berkata beliau sukar mendapatkan bekalan buluh minyak dan daun pisang memandangkan kedua-dua sumber berkenaan hampir lenyap 'ditelan' air banjir.

"Jika sebelum banjir, saya boleh mendapatkan bekalan dengan mudah di satu tempat sahaja di Dabong, namun kini terpaksa meluangkan lebih masa untuk mencari bahan mentah itu di kawasan berbukit di Dabong," katanya ketika ditemui di gerainya di sini.

Mazri yang menjalankan perniagaan lemangnya itu sejak kira-kira 10 tahun lalu berkata walaupun menghadapi kekangan dari segi bahan mentah, beliau masih menjual juadah tradisi itu dengan harga biasa iaitu RM10 bagi tiga batang lemang.

Seorang lagi penjual lemang, Sapinah Umar, 64, berkata, beliau terpaksa menyuruh anak lelakinya mendapatkan bekalan beras pulut di Machang dan Pasir Puteh kerana peruncit bahan itu di sini masih belum menjalankan perniagaan.

"Alhamdulillah, harga beras pulut masih terkawal walaupun bekalan berkenaan sukar didapati selepas banjir baru-baru ini.

"Harga bagi setiap 25 kilogram beras pulut adalah sekitar RM105, cuma naik RM5 berbanding sebelum banjir baru-baru ini," katanya.

Sapinah turut mengakui mampu menjual sehingga 40 batang lemang sehari kerana Manek Urai menjadi kawasan tumpuan pelbagai pihak selepas kawasan itu musnah teruk akibat bencana banjir baru-baru ini. 

 
Top