28 Jan 2015 - Daerah Kota Bharu menjadi penyumbang tertinggi
penularan penyakit kencing tikus di negeri ini berbanding jajahan lain, yang
hanya mencatat satu hingga dua kes sahaja selepas banjir besar di Kelantan,
Disember lalu.
Pengarah Hospital
Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata,
sebanyak 187 kes dilaporkan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak awal
Januari sehingga semalam.
“Daripada
jumlah itu, majoritinya melibatkan kes di Kota Bharu dan selebihnya di daerah
lain.
“Ia menunjukkan
peningkatan mendadak selepas banjir lalu yang mencatatkan purata 12 kes sehari
menerima rawatan di HRPZ II,” katanya kepada pemberita pada sidang media,
semalam.
Menurutnya, kes
dianggap serius berikutan wad di unit rawatan rapi (ICU) HRPZ II terpaksa
ditambah kerana tidak mampu menampung pesakit yang ramai.
“Setakat ini kita
terpaksa mendapatkan bantuan peralatan dari Kuala Lumpur dan membuka
sebuah lagi wad ICU untuk merawat pesakit kritikal akibat penularan wabak
kencing tikus.
“Sebenarnya
penyakit ini boleh dirawat tetapi jika pesakit datang dalam keadaan serius dan
kita dapati banyak organ dalaman rosak akibat serangan wabak ini, ia boleh
menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata,
majoriti yang terkena wabak itu berusia lingkungan 30-an dan dipercayai terkena
jangkitan ketika membersihkan kawasan sekitar rumah selepas banjir.
“Berkemungkinan
ketika membersihkan kawasan rumah selepas air surut, mendedahkan orang ramai
dengan air tercemar disebabkan tikus lalu di kawasan yang ditenggelami banjir.
"Jadi saya
nasihatkan orang ramai, jika terdapat simptom awal seperti demam panas
berlarutan, disusuli kekejangan dan letih berpanjangan, segera dapatkan rawatan
di hospital untuk rawatan susulan," katanya.