23 Jan 2015- Presiden PAS itu berkata, desakan DAP untuk pilihan raya PBT itu akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan sesuatu kaum saja.
Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diperjuangkan DAP di kawasan majoriti Cina bandar boleh melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dan desa sehingga boleh mengulangi rusuhan kaum 13 Mei, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.
"Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi ‘api dalam sekam’ untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hadi berkata, dalam aspek politik, perjuangan DAP itu silap kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar saja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek.
"Apatah lagi apabila kita melihatnya daripada aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar majoriti kaum Cina yang sangat besar.
"Lihat sajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di Majlis Daerah di kawasan desa di Selangor yang pula majoriti satu kaum yang lain," katanya.
Sebelum ini berlaku perang mulut di antara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berhubung isu pilihan raya kerajaan tempatan.
Mustafa menyelar DAP kerana mempertikaikan hudud di Kelantan kerana membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) sedangkan dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan parti itu membelakangkan gabungan ditubuhkan pada 2008 itu.
Hadi berkata, DAP sepatutnya melihat masyarakat dari semua arah termasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal di kawasan paling pedalaman dan kaum yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar.
Katanya, semua itu wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaaf-maafan dalam perkara yang berbeza, dan berlaku adil terhadap semua.
"Bandar wajib diurus bukan saja pembangunannya, bahkan  penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya, yang menjadi laksana darah mengalir ke dalam jasadnya. 
"Kalau perjalanannya tidak betul, lebih-lebih lagi kalau tersumbat menyebabkan akibat yang sangat malang," katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, aspek ekonomi pendekatan liberal kapitalisme didapati menzalimi orang miskin sehingga menimbulkan pertembungan kelas taraf kehidupan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam hidup bermasyarakat.
Pendekatan sosialis pula boleh menzalimi orang kaya yang menyumbang kemajuan ekonomi negara, manakala pendekatan komunis lebih radikal sehingga menolak agama menjadi lebih parah.
"Dunia sudah menyaksikan kegagalan semua pendekatan itu. Bandar yang menjadi pusat bergeraknya kegiatan ekonomi, politik dan sosial menerima padah awal daripada segala kesannya yang positif dan negatif," katanya.
Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu memutuskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya PBT.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, kerajaan pimpinan DAP itu tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.
Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.
Raus berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang melampaui bidang kuasanya dalam membuat perintah pengecualian itu yang melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pemansuhan pilihan raya PBT ialah keputusan dasar yang diambil Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, oleh itu permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengecualikan keputusan dasar seperti itu perlu merujuk kepada majlis berkenaan terlebih dulu.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 4 Mac 2010 menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon kebenaran untuk mengadakan pilihan raya PBT berdasarkan Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu menyebut, undang-undang persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada yang disebut dalam Fasal (1).

Namun permohonan itu ditolak SPR pada 23 Mac 2010. – 23 Januari, 2015.






- Samad, Said, Wokyoh -


 
Top