بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua
YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

(Mukadimah)

1. Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini. Begitulah ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

2. Dalam Majlis ini, kita berhimpun bersama-sama, sebahagian pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan. Seterusnya, yang dikasihi seluruh rakyat Malaysia, sama ada yang di dalam dewan, atau yang sedang menonton juga mendengar perutusan khas ini.

3. Tujuan saya berucap, adalah untuk memberi penjelasan terkini tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Mutakhir ini, terdapat laporan-laporan, kebimbangan dan pertanyaan terutamanya berkait harga minyak dan kedudukan nilai matawang ringgit.

4. Ketahuilah bahawa, Kerajaan memang sentiasa memantau keadaan ini sejak awal. Sehubungan itu, hari ini, Kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah proaktif, untuk membuat pengubahsuaian yang spesifik, bagi menjajar semula dasar-dasar kita, beriring dengan perubahan senario ekonomi global, yang faktor-faktornya, berada di luar kawalan kita. Ini dilakukan, untuk kita terus mencapai pertumbuhan ekonomi yang menyakinkan lagi boleh dibanggakan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

5. Dalam erti kata lain, I am here today to announce specific and proactive measures to align ourselves with the recent global economic developments.
6. We are not in crisis. Indeed, we are taking preemptive measures following the changes of the external global economic landscape, which are beyond our control.

7. This is to ensure that our economy continues to attain a respectable and reasonable growth. And at the same time, we want to ensure and must ensure development of the nation and socio economic welfare of the people to be continue to be the main focus of the government.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

8. Sesungguhnya takwim 2014 yang lalu, merupakan tahun yang amat mencabar dan begitu menduga bagi kita dengan pelbagai tragedi.

9. Pada penghujung tahun lepas, Malaysia diuji dengan musibah banjir yang luar biasa. Ia telah melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak.

10. Di beberapa negeri lain, sungguhpun tidak begitu kritikal, banjir turut memberi kesan kepada penduduk di sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak.

11. Demikianlah, seperti yang difirmankan bahawa, manusia merancang, Allah merancang, sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik Perancang.

12. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam segala kudrat Kerajaan dan pentadbiran, kita telah cuba merencana, merangka, menyusun dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik demi kepentingan dan keperluan rakyat.

13. Justeru, jika diimbau, secara keseluruhannya, kira-kira hanya sekitar tiga bulan lebih yang lalu, sewaktu Bajet 2015 dibentangkan, perancangan Kerajaan adalah berpremiskan, antaranya, pertama, unjuran harga minyak Dated Brent pada kadar 100 dolar Amerika setong.

14. Kedua, pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka mencatat antara 5 hingga 6 peratus. Ketiga, kadar pertukaran matawang yang kekal stabil pada 3.2 ringgit berbanding dolar Amerika; dan

15. Keempat, semasa bajet itu digubal, pertumbuhan ekonomi dunia pada 2015 diunjurkan oleh World Bank dan IMF adalah pada kadar 3.4 dan 3.9 peratus. Kini, mereka telah mengkaji semula kadar dan meletakkan paras yang lebih rendah di antara 3 hingga 3.8 peratus.

16. Perlu difahami juga, sewaktu Bajet 2015 digubal, it was based on strong fundamentals, yakni asas 2014 yang teguh. Oleh sebab itulah, defisit fiskal tahun 2015 telah diunjurkan pada kadar 3 peratus, berbanding pada kadar 3.5 peratus pada 2014.

17. Walau bagaimanapun, kontemporari ini, mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa, persekitaran dan percaturan ekonomi dunia telah berubah, yang secara langsungnya memberi impak kepada Malaysia sebagai, antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.

18. Maksudnya, berbanding situasi beberapa bulan yang lepas, kini, the global economic landscape has changed in very significant ways. Beberapa perkara pokok yang telah Kerajaan unjurkan, bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.

19. Turut dibangkitkan adalah keupayaan Kerajaan untuk mencapai sasaran fiskal pada tahun 2015. Ramai ingin tahu, persoalannya, berdasarkan situasi semasa ini, adakah ekonomi dan kewangan negara akan terjejas?

20. Oleh yang demikian, perutusan khas hari ini disampaikan supaya rakyat Malaysia mendapat penjelasan langsung daripada Kerajaan tentang perkara ini. Saya juga turut akan mengumumkan beberapa strategi, berikutan kedudukan ekonomi semasa.

21. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus merintis serta mencari jalan bagi mempastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

22. Kita sedar mutakhir ini, wujud pertanyaan di kalangan rakyat, komuniti perniagaan dan para penganalisis bersabit kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia ke atas ekonomi Malaysia.

23. Merujuk kepada trend harga minyak mentah global, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, ia telah menjunam lebih 50 peratus. Ini adalah disebabkan, salah satunya, oleh kerana lebihan bekalan dan permintaan global yang berkurangan.

24. Selain daripada itu, ini juga adalah disebabkan oleh pengeluaran gas dan minyak shale yang meningkat ketara di Amerika Syarikat berikutan kemajuan teknologi industri pengeluaran minyak.
25. Dalam masa yang sama, keadaan ini menjadi lebih buruk, dengan pertambahan bekalan daripada kalangan negara-negara bukan OPEC. Manakala, negara-negara OPEC pula enggan mengurangkan pengeluaran mereka bagi mengekalkan penguasaan pasaran.

26. Di sinilah pihak Kerajaan sering ulang-ulangkan dan berharap, agar rakyat dapat sama-sama memahami bahawa, isu harga minyak mentah bukanlah sesuatu yang berada dalam kawalan langsung Kerajaan Persekutuan kita.

27. Kerana itulah, penanda aras harga minyak mentah Dated Brent terkini telah turun kepada sekitar 48 dolar Amerika setong pada hari semalam, yakni 19 Januari 2015. Walaupun begitu, para penganalisis menjangkakan harga minyak akan mengambil tempoh tertentu untuk kembali stabil.

28. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, apabila berlakunya penurunan harga minyak seperti sekarang ini, hikmahnya, ia membawa manfaat kepada negara pengimport bersih minyak seperti Malaysia.

29. Sebagai contoh, apabila pengurangan harga runcit petrol dan diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini, tambahan pendapatan boleh guna atau disposable income pengguna rakyat Malaysia secara kasarnya adalah di sekitar 7.5 bilion ringgit. Dengan andaian pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah tersebut, ini akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak 3 bilion ringgit.

30. Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan bahawa, harga minyak mentah yang lebih rendah akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi global. Malah, penurunan harga minyak sebanyak 30 peratus, mampu meningkatkan pertumbuhan KDNK dunia sehingga 0.5 peratus.

31. Ini secara tidak langsung, akan juga memberi kelebihan kepada permintaan produk buatan Malaysia. Dengan kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin kukuh pula, permintaan terhadap eksport Malaysia terus mampan terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

32. Ironisnya, kejatuhan harga minyak mentah dunia, memberi impak secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara. Pendapatan inilah, yang Kerajaan gunakan bagi tujuan pembangunan seperti membina sekolah-sekolah, jalan raya dan rumah-rumah ibadat. Ia juga digunakan antaranya, untuk perbelanjaan termasuklah seperti gaji penjawat awam, kos ubat-ubatan di hospital Kerajaan, subsidi pertanian dan kos perbelanjaan keselamatan untuk anggota RELA, tentera. polis dan sebagainya.

33. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, harga minyak mentah dunia telah menjunam. Berdasarkan paras tertinggi minyak mentah Dated Brent, iaitu sebanyak 115 dolar Amerika setong, yang direkodkan pada 19 Jun 2014, harga semasa telah menunjukkan kemerosotan melebihi 50 peratus.

34. Selaras itu, ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa unjuran paras harga asas 100 dolar Amerika setong semasa Bajet 2015 dibentangkan, adalah tidak lagi realistik. Mereka kini, mengganggarkan purata harga minyak bagi tahun 2015 adalah antara 40 hingga 70 dolar Amerika setong.

35. Lantaran itulah, Kerajaan perlu menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak, kepada 55 dolar Amerika setong bagi tahun 2015 ini, berasaskan kepada unjuran bajet yang disemak kembali.


TERUSKAN MEMBACA SAMBUNGAN, 
SILA KLIK DI SINI


 
Top