KUALA KRAI : PAS Kelantan sedar kepada ketidakmampuan mereka untuk membangunkan semula negeri itu selepas berlakunya bencana banjir paling buruk, pada akhir tahun lalu.

ADUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) perlulah diperhalusi oleh pelbagai pihak demi kebaikan Kelantan dan rakyatnya.

"Kerajaan negeri akur bahawa tanpa bantuan daripada kerajaan pusat maka sudah tentu kita tidak dapat laksanakan sebarang projek pembangunan. Dalam masa yang sama, kerajaan pusat pun kena akur akan tanggungjawab mereka untuk memberi bantuan kepada setiap kerajaan negeri.

"Jika tiada kerajaan negeri, maka tiada jugalah kerajaan pusat," katanya yang ditemui Antarapos, baru-baru ini.

Fauzi terlebih dahulu mengulas reaksi kepimpinan PAS Kelantan terhadap pembentukan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir yang diikat bersama kedua-dua kerajaan itu.

Timbalan Perdana Menteri pada awal bulan ini, mengumumkan jawatankuasa berkenaan dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustafa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Namun jelas Fauzi, sebagaimana yang ditegaskan oleh Ahmad baru-baru ini, pendirian kepimpinan PAS Kelantan juga tekad bahawa pembentukan kerjasama itu tidak akan membawa sebarang perancangan kepada kerajaan gabungan PAS-Umno yang diuar-uarkan selama ini.

"Sebagai seorang ahli parti dan wakil rakyat yang dimana Pesuruhjaya PAS Kelantan adalah Datuk Ahmad Yakob, maka apa yang diperkatakan oleh beliau, itu jugalah yang kami akan pegang. Kita tidak boleh berbeza pandangan.

"Kita bekerjasama bukan di peringkat parti, sebaliknya di peringkat kerajaan untuk pembangunan negeri dan rakyat. PAS dan Umno mempunyai dasar-dasar tersendiri. Hal kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, itu tidak boleh lari.

"Namun pendekatan MB Kelantan yang sekarang nampak berbeza dengan MB Kelantan terdahulu iaitu Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat. Tetapi ia tidak ada masalah, Ahmad dan Nik Aziz mengambil cara (kepimpinan) masing-masing," demikian menurut Fauzi.

Sehubungan itu Fauzi meminta isu kerjasama di antara dua kerajaan ini tidak lagi dipolemikkan pelbagai pihak, termasuk rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana Kelantan memerlukan tenaga yang besar dalam usaha pemulihannya.

 
Top