28 Jan 2015- PAS menyifatkan sekiranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan kes Liwat II dan dipenjarakan, hubungan Pakatan Rakyat (PR) akan menjadi lebih kukuh.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, ketika penubuhan Barisan Alternatif (BA) sebelum wujudnya PR, Anwar berada di dalam penjara dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengetuai PKR. 

“Itu bukan sebab, lagi kukuh PR. Sebab kita kena bertanggungjawab meneruskan.

“Tidak ada orang itu pun tidak ada masalah. Waktu kita tubuh BA dulupun Anwar masih di dalam (penjara) tetapi masih jalan,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

“Anwar tiada, Kak Wan ada, Azmin ada, itu pimpinan mereka. Presiden, timbalan. Kita bekerjasama dengan parti bukan dengan orang,” katanya merujuk kepada Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Mengulas mengenai perselisihan di antara PAS dan DAP, Mustafa berkata parti Islam itu belum sampai ke tahap mengambil keputusan meninggalkan PR.

“Tak berbangkit isu itu. Jangan cepat sangat.

“Niat tiada siapa tahu, di dalam hati,” katanya sambil tertawa menjawab soalan daripada pemberita.

Mustafa turut diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon yang mendakwa Umno dan PAS mungkin akan membentuk kerajaan perpaduan sekiranya Anwar ke penjara.

“Saya tak pernah berhubung dengan MCA. Tak tahu dia kata apa. Dia pun tak pernah tanya saya,” katanya.

Semalam, Chong mendakwa jika Anwar dipenjarakan, PR akan kehilangan orang penting yang boleh menyatukan parti dalam PR, lapor media.

"PAS dan DAP mungkin berpecah dan kita mungkin menyaksikan Umno dan PAS membentuk gabungan lain di Kelantan.

"Ia berlaku sebelum ini (kerajaan perpaduan) dan ia boleh berlaku lagi.

"Mengapa tidak? Politik adalah dinamik, tetapi halangan sekarang ialah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menyokong (kerajaan perpaduan),” katanya.
 
Top