KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Menteri-Menteri Ekonomi negara-negara
anggota ASEAN akan bermesyuarat di Kota Baharu, Kelantan dari 28 Februari
hingga 1 Mac untuk merancang usaha-usaha ke arah penubuhan Komuniti Ekonomi
ASEAN (ASEAN Economic Community - AEC).
Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 itu, salah satu
daripada mesyuarat-mesyuarat ASEAN dianjurkan bersempena kepimpinan ASEAN oleh
Malaysia pada 2015, akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed,
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Ini merupakan acara tahunan diadakan bertujuan membolehkan
menteri-menteri ASEAN itu menilai dan meneliti pencapaian keseluruhan proses
integrasi serantau itu selain mempertimbang dan membincangkan
inisiatif-inisiatif baru.
Mesyuarat kali ini sangat penting memandangkan menteri-menteri
akan memberi tumpuan kepada memastikan semua langkah yang telah ditetapkan dalam
Pelan Tindakan AEC tercapai.
AEC akan direalisasikan menjelang 31 Disember 2015. Ia disasarkan
untuk mewujudkan sebuah pasaran tunggal dan sebagai pusat pengeluaran rantau
ini bertujuan mengukuhkan lagi kemajuan dan kemakmuran ASEAN.
Saranan-saranan daripada sektor swasta dan kebimbangan berhubung
persepi wujudnya peningkatan halangan-halangan bukan tarif (non-tariff
barriers) terhadap perdagangan di rantau ini akan menjadi salah satu agenda
utama di dalam perbincangan mereka.
Menteri-menteri ASEAN itu dijangka mempertimbang dan memberikan
panduan berhubung kerja-kerja merangka Visi dan Pelan Ekonomi Pasca-2015 ASEAN.
Ini merupakan satu lagi hasil utama (deliverable) bagi
menteri-menteri berkenaan di mana semua pihak berkepentingan mempunyai harapan
tinggi bahawa ASEAN akan menghasilkan satu pelan baru dan berani pada
penghujung tahun ini untuk menetapkan hala tuju integrasi serantau yang lebih mendalam
pada dekad mendatang.
Pemukiman menteri-menteri ekonomi ASEAN ini akan didahului oleh
Mesyuarat Kali ke-8 Kumpulan Kerja Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai
Integrasi Ekonomi ASEAN berhubung Visi Ekonomi Pasca-2015 dan Mesyuarat Persediaan
Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi.
Sebagai Pengerusi dan tuan rumah, Mustapa akan mengambil peluang
sempena pemukiman ini untuk mendapatkan sokongan negara-negara anggota ASEAN
bagi beberapa acara sampingan yang bakal diadakan di Malaysia.
Ini termasuklah:
a) Persidangan Pembaharuan Peraturan Asia Tenggara (Southeast Asia
Regulatory Reform Conference), 9-12 Mac 2015;
b) Pameran dan Persidangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
ASEAN 2015 (ASEAN SME Showcase and Conference), 26-28 Mac 2015;
c) Persidangan Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ASEAN Business and
Investment Summit), November 2015; dan
d) Beberapa sidang kemuncak berkaitan belia dan usahawan muda
ASEAN (Several ASEAN Youth and Young Entrepreneurs related summits).
--BERNAMA