SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar hari ini
dengan tegas mengatakan bahawa beliau tidak bersalah atas tuduhan liwat yang
dikenakan atas dirinya dengan bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari
Azlan.
Beliau menjawab soalan wartawan yang
menanyakan sama ada akan terus aktif berpolitik sekiranya dipenjarakan.
Anwar turut optimis bahawa beliau akan
memenangi kes tersebut sekiranya mahkamah membuat keputusan berdasarkan fakta
dan keterangan saksi.
"Mengapa saya boleh difikir hendak
dikenakan hukum tentang hal yang saya tidak salah?
"Saya telah didokong dengan bukti yang
cukup terang dan tegas... jadi bagi saya (ianya) aneh," kata beliau pada
sidang media selepas pelancaran buku tulisan Prof Dr Syed Husin Ali yang
bertajuk 'Ethnic Relations in Malaysia'.
Menurut Anwar, sekiranya masih wujud rasa
sangsi dari orang ramai tentang keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb
nanti, ini bermakna mahkamah tidak lagi bebas.
Meskipun yakin, beliau mengatakan yang beliau
masih 'berhati-hati' dengan keputusan tersebut.
"Saya berdoa yang terbaik... saya berdoa
supaya kewarasan masih wujud (dalam sistem kehakiman) dan saya diadili
berdasarkan bukti yang ada.
"Meskipun begitu, saya perlu realistik,
dan ianya tidak mudah bagi saya dan keluarga saya (sekiranya dipenjarakan),
namun ianya merupakan harga kecil yang perlu saya bayar kerana mendokong
prinsip," katanya.
Menurut Anwar, beliau telah pun berbincang
mengenai perkara ini dengan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan
katanya Azizah, meskipun tabah, masih tentang kesihatan suaminya itu.
Selain itu, Anwar juga enggan mengulas
tentang pemimpin yang akan menggantikan dirinya dalam Pakatan Rakyat sekiranya
beliau dipenjarakan, dan akan meneruskan perjuangan.
Bagaimanapun beliau berkata Pakatan Rakyat
harus dilihat sebagai sebuah pergerakan dan gabungan parti yang berdasarkan prinsip
dan dasar yang diiktiraf.
"Jika itu diterima, maka isu tentang
siapa yang seterusnya akan menjadi pengerusi atau ketua pembangkang boleh
diselesaikan secara baik.
"Kita sepatutnya mengharapkan yang
terbaik, berdasarkan fakta dan jelas sekali undang-undang di pihak saya,"
jelasnya.
Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa
beliau terpaksa menangguh pertemuannya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) buat masa sekarang kerana kesibukan menjelang hari keputusan
rayuan.
Beliau merujuk kepada pertemuannya dengan
SPRM berkenaan dakwaannya terhadap bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.
"SPRM memang tunggu tarikh dari saya..
dan saya berkewajipan untuk bekerjasama dengan mereka. Mereka bagi saya tarikh,
saya minta tangguh... kalau bebas, saya akan jumpa mereka dan adakan
perbincangan itu," katanya.
Mahkamah Persekutuan telahmenetapkan pada 10 Februariini bagi keputusan rayuan Anwar
Ibrahim dalam kes liwatnya.
Ia susulan tindakan Pejabat Peguam Negara
pada Pada 20 Januari 2012 yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi terhadap Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful Bukhari.