KOTA BHARU - Seorang pekerja wanita sebuah kedai pajak gadai Islam di Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini, terpaksa menjerit meminta tolong dengan membuka tingkap pejabatnya apabila seorang lelaki dipercayai mengamuk tiba-tiba selepas berurusan di kaunter premis berkenaan.

Bagaimanapun, 'drama' lebih setengah jam yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu berakhir, selepas anggota polis tiba setelah dimaklumkan orang awam dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Saksi kejadian, Zuwida Ibrahim, 37, berkata, dia terdengar suara wanita menjerit dari tingkat atas premis berkenaan.

“Orang ramai berhampiran kawasan berkenaan cuba berkomunikasi dengan wanita terbabit dan menyangka kedai pajak gadai itu dirompak. Polis tiba kira-kira setengah jam kemudian dan berjaya tahan suspek.

"Berdasarkan cerita pekerja terbabit, dipercayai lelaki tersebut berang selepas pihak pajak gadai berkenaan tidak membenarkannya mengambil barang kemas yang dipajak di kedai itu tanpa bayaran," katanya.

Menurutnya lagi, lelaki terbabit mengamuk dan menyebabkan pekerja dalam kedai tersebut panik, dan menjerit meminta tolong ekoran bimbang dicederakan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian dan masih menjalankan siasatan.


 
Top