Shah Alam - Pas Selangor mengingatkan Ketua Wanita DAP, Chong Eng supaya tidak cuba mempermain-mainkan sentimen agama de­ngan mempertikaikan khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, Chong Eng tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan umat Islam termasuk mempertikaikan bidang kuasa JAIS yang mengeluarkan khutbah berkenaan.

Beliau yang juga Bendahari Pas Selangor menjelaskan, sebagai seorang bukan Islam, Chong Eng sepatutnya mendapatkan pan­dangan daripada pihak yang arif mengenai Islam terlebih dahulu sebelum membuat kritikan yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam

“Di Selangor, JAIS adalah sebuah badan berkuasa dalam hal ehwal agama Islam. Dalam soal khutbah Jumaat, ia adalah untuk umat Islam yang kandungannya ditentukan menerusi jawatankuasa panel melibatkan pakar-pakar dalam bidang ilmu dan hukum Islam.

“Beliau tidak boleh mencampuri atau mempertikaikan urusan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam, sebaliknya perlu menghormati agama serta sensitiviti penganut agama lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Kelmarin, Chong Eng yang ju­ga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang mengeluarkan ke­nyataan mengkritik JAIS yang didakwanya menyampaikan maklu­mat mengelirukan berhubung aurat wanita dalam khutbah Jumaat bertajuk Aurat: Antara Kebebasan dan Maruah Diri.

Beliau mendakwa, penekanan JAIS mengenai aurat wanita adalah tidak tepat apabila dilihat ‘menghukum’ golongan tersebut atas kegagalan menutup aurat sehingga menyumbang kepada kes serangan seksual.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya turut menyelar tindakan Chong Eng yang dianggapnya se­perti peribahasa ‘bodoh tidak dapat diajar, pandai tidak dapat mengajar’ apabila membicarakan isu aurat wanita tanpa memahami serta menerima pandangan pihak lain mengenai hukum Islam.

Menurutnya, tindakan Chong Eng dilihat bukan hanya biadab bahkan mencampuri urusan agama Islam yang merupakan perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa motif sebenar beliau membuat kenyataan sedemikian. Apakah beliau mahu mencetuskan suasana tidak harmoni masyarakat berbilang agama dengan memainkan sentimen serta sensitiviti umat Islam?

“Kalau beliau mahu bercakap mengenai hal-hal berkaitan Islam, masuk dan dalamilah hukum agama ini,” katanya. - 11 Februari




 
Top