Kerajaan PAS Kelantan akhirnya dijangka menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab melaksanakan projek Lebuh Raya Rakyat kepada Kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, projek tersebut terpaksa diambil alih kerana kerajaan negeri tidak mampu meneruskannya selepas berdepan pelbagai masalah termasuk kekurangan dana.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mengikut persetujuan dicapai sebelum ini, Kerajaan Persekutuan akan membantu menyiapkan jajaran sejauh kira-kira 43 kilometer bermula di Kota Bharu hingga ke Machang.

Sementara itu kata beliau, kerajaan negeri pula akan menyiapkan laluan sejauh 30 kilometer bermula di Machang hingga ke Kuala Krai.
“Kita dimaklumkan lebuh raya ini (Machang – Kuala Krai) menghadapi banyak masalah terutama dari segi pembiayaan.
“Jadi difahamkan sudah ada ura-ura untuk memindahkan tanggungjawab ini kepada Pusat. Perbincangan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu sudah ada namun saya tidak pasti perinciannya. Saya akan semak dahulu,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Makan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan 2015, di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha; Pengarah Pendidikan negeri, Hussain Awang serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Pada 28 Mei 2012, bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan majlis pecah tanah dan meletakkan batu asas pembinaan Lebuh Raya Rakyat di Felcra Mek Nab, Berangan, Machang.

Ketika itu, Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan pembinaan projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan meminta rakyat tampil menghulurkan derma bagi membantu pembinaan lebuh raya yang menghubungkan bandar Kota Bharu dengan Kuala Krai.

Isu pembinaan Lebuh Raya Rakyat ini terus menjadi perbualan hangat apabila Kerajaan PAS Kelantan turut menukar kontraktor yang dilantik beberapa kali selain salah sebuah syarikat tersebut turut memfailkan saman kerana mendakwa ditamatkan kontrak tidak mengikut prosedur.

Sejak April tahun lalu, Kerajaan Persekutuan giat melaksanakan pembinaan projek tersebut bagi Pakej 1B Pasir Hor – Kadok sejauh tujuh kilometer selain telah memulakan kerja-kerja pembinaan Pakej 2A Kadok – Ketereh sejauh 6.4 kilometer, bulan lalu.

Dua fasa berkenaan yang menelan belanja kira-kira RM350 juta dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, hanya pada Ogos tahun lalu, Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan kerja-kerja pembinaan fasa pertama projek di pihaknya telah pun bermula di Bukit Bakar, Machang.

Tinjauan dilakukan skuad Sokmo.Net baru-baru ini bagaimanapun mendapati projek tersebut tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Sehubungan itu, adalah wajar untuk Kerajaan Persekutuan mengambil alih projek tersebut bagi memastikan ia tidak terkubur begitu sahaja sebagaimana deretan projek lain yang pernah dicanang oleh kerajaan negeri.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah tetapi kerajaan Persekutuan dilihat memahami dan merasakan Kelantan mungkin terbeban dengan projek itu dan mahu membantu.

Jelasnya, jika projek berkenaan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri hanya akan menyiapkan projek tersebut sepanjang 10 kilometer iaitu dari Bukit Tiu, Machang ke Kampung Berangan Mek Nab, juga di Machang.
“Bakinya sepanjang 20.5 kilometer lagi mungkin akan disiapkan oleh kerajaan Persekutuan iaitu dari Kampung Berangan Mek Nab di Machang ke Dusun Damar di Kuala Krai,”
Cuma persoalan yang mula berlegar sekarang, jika lebuh raya ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat, ke mana pula perginya wang derma daripada rakyat yang dikutip Kerajaan negeri selama ini? – 1 Jun 2015.
 
Top