Kementerian Kerja Raya sekali lagi menegaskan tidak berlaku sebarang kelewatan dalam pembinaan projek rumah kekal bagi mangsa banjir di Kelantan malah prosesnya dipantau setiap masa.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata dakwaan pihak tertentu bahawa projek itu lewat dibina adalah tidak benar kerana 100 unit lagi akan siap menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan.

Jelasnya, kementerian sentiasa berinteraksi dengan kontraktor bagi memastikan jadual pembinaan dipatuhi malah kerja-kerja pembaikan kesemua rumah rosak juga hampir selesai.

"Jika berlaku kelewatan pun, ia disebabkan ada dalam kalangan mangsa banjir tidak mempunyai tanah sendiri untuk dibina rumah baharu dan kerajaan negeri (Kelantan) pula masih bermasalah untuk beri kita tanah sesuai.

"Kerajaan pusat melihat sekiranya kerajaan negeri tetap teragak-agak untuk sediakan tanah bagi rakyatnya, kita akan pertimbangkan untuk beli tanah itu demi kesejahteraan mangsa banjir ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Namun katanya, opsyen berkenaan masih dalam peringkat perbincangan dan kerajaan pusat sedang menanti tindakan kerajaan Kelantan dalam menyediakan tanah sesuai bagi projek perumahan berkenaan.

Tambah Rosnah, kerajaan Kelantan diharap dapat mengetepikan fahaman politik demi kesenangan rakyat kerana kerajaan pusat tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyalurkan sebarang bantuan.

Terdahulu, Rosnah menghadiri Majlis Karisma Ramadan dan Tadarus Perdana anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Kota Raja di Masjid Alam Impian di sini.

Turut hadir, Penaung Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor, Datin Paduka Tengku Puteri Arafiah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kira-kira 500 anggota masyarakat menghadiri majlis berkenaan sempena menyambut kehadiran Ramadan.
 
Top