Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukan sebanyak RM130 juta untuk kerja-kerja membaikpulih jalan yang terjejas akibat banjir pada penghujung Disember tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, 90 peratus daripadanya membabitkan jalan-jalan di pantai timur khususnya di Kelantan dan kerja-kerja menurap jalan kini sedang giat dijalankan di setiap negeri.
“Setakat ini, sebanyak 30 peratus kerja membaikpulih jalan raya telah berjaya disiapkan di Pantai Timur, Khususnya di Kelantan dan kita sedang berusaha untuk siapkan secepat mungkin.
“Kalau boleh kita tidak mahu lengahkan. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi membolehkan kita menjalankan kerja membaikpulih jalan dengan lebih cepat,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2014 dan Hari Inovasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) 2015 di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Seramai 46 warga kerja Kesedar telah menerima APC sebagai penghargaan di atas prestasi cemerlang mereka ketika menjalankan tugas.

Dalam pada itu, Alexander memberitahu, bagi proses membaikpulih kerosakan besar seperti jambatan runtuh akan mengambil tempoh masa yang lama untuk membaikinya.
“Bagi kerosakan biasa seperti jalan pecah, kita sudah menurap jalan tersebut dan kita akan berusaha untuk membaiki jalan raya ini secepat mungkin demi kemudahan rakyat,”
Sementara itu, menyentuh mengenai bantuan banjir, beliau berkata, kementerian melalui Kesedar telah berjaya membaiki 480 buah rumah yang rosak di empat jajahan iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Gusa Musang.
“Secara keseluruhan, kita perlu membaiki 1,200 buah rumah dan sekarang 480 buah rumah telah berjaya di baiki, yang selebihnya masih dalam proses baikpulih.
“Kos rumah yang dibaiki tidak lebih daripada RM10,000 (seunit) dan kita perlu kerjasama semua pihak untuk mempercepatkan lagi proses ini memandangkan bulan Ramadhan sydah semakin dekat,” katanya. – 1 Jun 2015.
 
Top