Kedai Buluh- Seorang datuk kepada 13 cucu bernazar mahu pulang dengan berjalan kaki dari Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Kota Bharu jika pasukan bola sepak Kelantan berjaya menjulang Piala FA, Sabtu ini.
Zakaria Yusof  65, berkata, misi itu akan bermula pada pukul lapan pagi keesokan harinya jika skuad The Red Warriors muncul juara pada malam itu.
Dia yang dikenali dengan gelaran ‘Pok Ya Rambo’ memberitahu, idea untuk berbuat demikian selepas melihat seorang peminat Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid, 58, pada tahun lalu menunaikan nazarnya dengan berjalan kaki secara solo sejauh 280 kilometer dari Kuantan ke Stadium Shah Alam.
“Jika dia (Abdul Majid) boleh buat, saya juga mampu. Usia bukan penghalang untuk saya berbuat demikian.
“Dan saya anggap ini adalah tanda sokongan saya kepada Kelantan skuad the Red Warriors (TRW) dan saya harap kita akan menang pada malam itu,” katanya peminat fanatik bola sepak Kelantan itu.
Misinya yang bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu itu membabitkan jarak perjalanan kira-kira 500 kilometer.
Menurut Zakaria, ahli keluarganya tidak ada sebarang masalah dengan misi atau nazarnya itu sebaliknya yakin mereka akan memberi sokongan penuh kepadanya dalam merealisasikan misi tersebut seandainya Kelantan menang.
Perlawanan akhir Piala FA menyaksikan pertemuan antara Kelantan dan Lions XII yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kelantan, yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada pusingan separuh akhir baru-baru ini.
Manakala Lions XII yang terikat 4-4 secara agregat dalam aksi separuh akhir dengan Terengganu layak ke final menerusi peratutan gol tempat lawan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 30,000 tiket masing-masing kepada Kelantan dan wakil Singapura, Lions XII untuk perlawanan akhir tersebut.
Kerajaan PAS Kelantan mengiystiharkan 24 Mei sebagai cuti peristiwa bagi memberi keselesaan kepada penyokong Kelantan pulang dari menonton perlawanan tersebut.
Sementara itu, tinjauan guanoboh.com mendapati sebahagian penyokong Kelantan akan mula bergerak ke ibu negara bagi menyaksikan perlawanan tersebut pada Khamis malam tetapi, sebahagian besarnya adalah pada pagi dan Jumaat malam. – 
 
Top