Mujahid ikut Mat Sabu, lepas Jawatan Negeri
Sama ada sebagai tanda taatkan ulama atau percaturan politik, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa mengesahkan perletakan semua jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Pulau Pinang.

Keputusan tersebut dibuat selepas usul memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas dalamMuktamar PAS yang berakhir Sabtu lalu.

“Ya, semua jawatan rasmi,” katanya mengesahkan tindakan itu.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang susulan usul yang dibangkitkan itu.

Mohamad mengumumkan perkara tersebut 6 Jun lalu sewaktu ucapan penggulungannya di muktamar PAS yang berlangsung di Kuala Selangor.

Usul tergempar itu dibawa Dewan Ulama dan kemudiannya diluluskan dengan tanpa bahas di peringkat Pusat.

Keputusan tersebut sekaligus menyatakan secara rasmi bahawa DAP dan PAS terputus hubungan kerjasama, namun masih kekal bersama dalam PR.

Apa pun, keputusan Mujahid dan Mat Sabu boleh diterjemah mengikut selera perbicaraan lantaran semua pihak sedia maklum kata-kata hikmah, ‘berundur tidak semestinya kalah’.

Yang pasti, hanya masa menjadi penentu samada keputusan berundur kedua-dua tokoh PAS itu bermakna akur keputusan ulama atau strategi melengah-lengahkan masa bagi merencana pendekatan lain demi memenuhi kehendak pembiaya perjuangan.
 
Top