Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang disokong pihak yang mahu melihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ulama dicabar, kata Mingguan Malaysia. 

Peluang Ahmad Awang menjadi presiden PAS menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan PAS bulan depan dilihat tipis, tetapi beliau masih ada harapan menang kerana ada kuasa besar di belakangnya yang menyokongnya, lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Melalui ruangan analisis Awang Selamat, berpendapat, bekas naib presiden PAS itu tidak bersendirian tetapi disokong pihak yang mahu melihat Hadi dan ulama dicabar, terutamanya mereka yang dilabelkan sebagai golongan Anwarinas.

Selain itu, anggota Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) yang menurut Utusan, bersifat pro-DAP, juga menyokong bekas psuruhjaya PAS Perak itu.
"Awang tidak melihat keputusan Ahmad untuk bertanding akan memberi impak, beliau sudah dianggap pemimpin lesu dan tiada pengaruh. Atas kertas, peluangnya untuk menang tipis.
"Namun dengan munculnya Ahmad, golongan Anwarinas dan PasMa yang pro-DAP mendapat harapan baru untuk memberi tamparan kepada Hadi dan golongan ulama.
"Ahmad boleh mendakwa beliau membawa suara akar umbi, tetapi majoriti ahli PAS boleh mambaca apa yang tersirat," katanya. – 17 Mei, 2015.
 
Top