Muktamar Dewan Pemuda PAS yang berlangsung hari ini panas apabila beberapa anggota perwakilan menempelak kepimpinan Pemuda yang gagal mempertahankan presiden parti itu sewaktu dikritik pemimpin DAP, sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat. Anggota perwakilan Wilayah Persekutuan, Mohd Ridzuan Ariffin menganggap kepimpinan Pemuda lemah apabila gagal mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menerima pelbagai kritikan keras terutama berhubung cadangan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.
"Ini bukan sifat seorang anak soleh yang hanya mendiamkan diri apabila melihat bapanya dihina," katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat pada Muktamar Pemuda PAS di Bangunan SUK Shah Alam, di sini hari ini. Anggota perwakilan dari Terengganu, Raja Arizal Raja Arif turut berkongsi pendapat sama dan mendakwa pimpinan Pemuda PAS gagal berfungsi serta memberi sokongan padu kepada Abdul Hadi sebagai presiden parti. Raja Arizal berkata, Pemuda PAS yang dipimpin Suhaizan juga gagal menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.

Anggota perwakilan dari Selangor, Mohd Zuhdi Mat Piah pula mengesyorkan agar Dewan Pemuda menubuhkan satu kumpulan penyelidikan bagi mengkaji setiap kenyataan yang dibuat pimpinan parti.
Beliau berkata, pasukan penyelidikan itu perlu mengkaji setiap kenyataan yang dikeluarkan terutama oleh presiden parti agar ia tidak disalahertikan oleh anggota di peringkat akar umbi. Beliau mengambil contoh apabila Abdul Hadi sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap Datuk Seri Najib Razak untuk Perdana Menteri itu kekal dengan jawatannya dan kenyataan itu dikatakan telah disalah erti oleh segelintir anggota parti itu.

"Kita nak Dewan Pemuda bersama presiden. Setiap tindakan yang dilakukan, Dewan Pemuda PAS perlu bersama, bukan berada di belakang, tapi bersama"
 
Top