Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan jawatan sebagai Presiden PAS selepas menewaskan pencabarnya Ahmad Awang dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-61 hari ini.

Abdul Hadi, 68, yang kali pertama dicabar untuk jawatan utama PAS itu sejak 13 tahun lalu mendapat 928 undi sementara Ahmad, 79, memperoleh 233 undi.

Keputusan kemenangan Abdul Hadi itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS pusat, Asmuni Awi di Stadium Tertutup Kuala Selangor, sebentar tadi. Seramai 1,189 perwakilan mengundi pada pemilihan sempena Muktamar kali ini.

Dengan kemenangan itu, Abdul Hadi yang mengambil alih teraju kepimpinan PAS daripada mantan presiden Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor pada 2002, akan memimpin parti itu untuk tempoh dua tahun lagi hingga 2017.

Kemenangan itu akan menjadikan Abdul Hadi sebagai Presiden PAS paling lama memegang jawatan itu. Setakat jam 10.40 malam ini, hanya keputusan jawatan berkenaan diumumkan sementara proses pengiraan masih berjalan bagi jawatan lain.
 
Top