KOTA BHARU - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek hari ini memberi amaran kepada peniaga-peniaga bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas jika cuba mensabotaj pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negara ini.
 
Beliau berkata kementerian itu dan Polis DiRaja Malaysia sentiasa memantau peniaga selepas GST dilaksanakan pada Rabu lepas.
"Jika terbukti usaha mereka menyalahi undang-undang, pihak polis akan ambil tindakan. Saya cukup yakin kematangan fikiran rakyat dan sebahagian besarnya boleh terima sistem GST,"
Hasan berkata, mereka yang mengetahui mengenai gerakan mensabotaj pelaksanaan GST perlu untuk membuat aduan terus kepada Kementerian Perdagangan  Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya tindakan segera dapat diambil.  
"Saya minta rakyat yang dengar, lihat atau tahu sesuatu cubaan untuk sabotaj supaya terus maklum  kepada pihak kita (KPDNKK),"
Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan terdapat gerakan pihak tertentu yang bermotifkan politik untuk mensabotaj pelaksanaan GST.

Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong dilaporkan berkata, pihaknya mendapati banyak kedai runcit, pasar mini dan restoran meletakkan tanda No GST bertujuan menipu pelanggan kononnya mereka tidak mengenakan sistem cukai baharu itu ke atas barang yang dijual. - Bernama
 
Top