Tempias pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa 1 April lalu secara tidak langsung turut beri kesan kepada kenaikan harga ayam serama.

Pengerusi Ayam Serama Malaysia, Sahasdi Yusoff berkata, peningkatan harga jualan haiwan peliharaan itu naik, susulan peningkatan kos penjagaannya yang turut mengalami peningkatan termasuk harga makanan asas.

“Kebiasaannya, saya beli dedak dengan harga RM2.30 sekilogram (kg), tetapi semalam, harganya sudah mencecah RM2.50 hingga RM2.80 bagi setiap kg. Itu baru kos makanan asas dan belum lagi makanan tambahan serta perbelanjaan perubatan yang sudah tentu lebih tinggi.

“Jadi, bagi menampung kos tersebut, harga seekor ayam serama juga sudah tidak sama seperti dulu. Contohnya, kalau dulu boleh dapat RM100 seekor, kali ini mungkin dijual dengan harga sekitar RM150 hingga RM200”

Sahasdi berkata, kebiasaannya harga anak ayam serama berusia sebulan dijual serendah RM30 setiap seekor dan harga itu boleh mencecah RM40,000 bergantung keupayaan ayam itu memukau peminat dengan kecantikan dimiliki dan ‘gerak tari’ dipersembahkan.

“Berapa pun nilai harganya, saya percaya peminat tidak akan banyak berkira dalam soal kos penjagaannya kerana minat mereka terlalu mendalam.

"Ia tidak akan jadi penghalang atau kekangan daripada terus ‘mencintai’ haiwan genit ini,”

Sementara itu, seorang peniaga makanan dan keperluan asas haiwan yang enggan dikenali berkata, harga makanan binatang peliharaan di kedainya masih dijual dengan harga sama walaupun selepas GST dilaksanakan.

“Harga sama juga saya dapat daripada pembekal dari Pulau Pinang, jadi saya tidak mahu ambil kesempatan terhadap peminat haiwan dengan naik harga dedak atau makanan tambahan kerana saya juga pencinta haiwan,”

Galeri Ayam
 
Top