Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan wajib bagi Pas untuk berunding sekiranya Umno sedia berbincang mengenai hudud dengan parti itu.

Menurutnya, perkara tersebut selaras dengan ajaran Islam yang meminta supaya setiap perkara yang menjurus kepada kebaikan agama dan negara dilakukan bersama.
"Soal keikhlasan mereka (Umno) untuk laksana hudud, itu urusan dia dengan ALLAH. "Kita anggap sahaja mereka ikhlas  tolong kita melaksanakan hudud," 
Abdul Hadi sekali lagi mengulangi penjelasan bahawa hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan tidak kepada orang bukan Islam.
"Pada zaman Nabi, orang Islam dihukum mengikut hukum ALLAH dan ada orang bukan Islam mahu dihukum mengikut hukuman ALLAH, mereka boleh pilih...terpulang kepada mereka. Tetapi untuk membatalkan hukum ALLAH ia adalah haram.
"Tetapi DAP sejak dari dahulu meminta kita (Pas) tangguh untuk laksanakan hudud. Ini adalah hak orang Islam. Kita hanya hukum orang Islam dan hukuman ini bukan bertujuan untuk menyakitkan tetapi mendidik," katanya.
Tambah Abdul Hadi, hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa sebaliknya dilakukan secara terperinci seperti menyiasat terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum.
"Kita bukan seperti Militan IS dan Taliban yang menghukum pesalah dengan cara menyiksa. Itu bertentangan dengan Islam.
"Disebabkan itu, kita (Pas) kita mengumpulkan ilmuan dan mengadakan wacana ilmiah mengenai hudud. Kita juga mencari pakar-pakar perubatan berkaitan hukuman hudud ini,"
Mengulas mengenai dakwaan krisis hingga boleh membawa perpecahan dalam PR disebabkan hudud, Abdul Hadi berkata, ia bukan konflik sebaliknya hanya perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi.
"Setiap orang mempunyai pandangan berbeza dalam sesuatu perkara, namun pada satu ketika ia akan kembali kepada satu titik persamaan,"
 
Top