Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz

TANAH MERAH  – UMNO Bahagian Tanah Merah terus komited dalam menjaga kebajikan rakyat termasuk menyediakan peruntukan membaik pulih rumah untuk komuniti Cina, Siam dan India di kawasan berkenaan tahun ini.
Ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan bagi membaik pulih rumah yang uzur dan rosak.
Beliau berkata, setiap bantuan yang diberi membabitkan semua komuniti dan tidak hanya tertumpu kepada orang Melayu sahaja kerana segala keperluan rakyat perlu diutamakan tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.
“Bagi orang Melayu, kita telah melaksanakannya dan bantuan ini akan diteruskan kepada komuniti lain kerana kita tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak.
“Oleh itu, kita akan cuba membantu mana-mana pemilik rumah yang memerlukan bantuan daripada segi kerja-kerja membaik pulih,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Angpau kepada warga emas masyarakat Cina dan Siam Parlimen Tanah Merah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Cheng, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi MCA Bahagian, Lai Yuen Meng; Timbalan Pengerusi MCA Bahagian, Nga Kim San dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, Dayang Saniah Awang Hamid.
Dalam majlis tersebut, seramai 750 warga emas daripada komuniti Cina dan Siam yang berumur 60 tahun ke atas menerima sumbangan angpau.

Ikmal Hisham berkata, setiap tahun pihaknya akan mengagihkan sumbangan angpau kepada warga emas dan ia sudah menjadi amalan tradisi.
“Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, kita akan meraikan mereka dengan mengagihkan angpau kepada warga emas komuniti Cina dan Siam,”.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha membangunkan Tanah Merah untuk keselesaan rakyat dengan bantuan daripada Kerajaan Pusat.
“Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sentiasa menyokong selain meluluskan permohonan saya untuk memajukan Tanah Merah,” 

 
Top