PADA mulanya Pakatan Harapan mengumumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri sementara. Apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan diraja, beliau akan ‘ditabalkan’ sebagai Perdana Menteri.

Tetapi kalau mengkaji kenya­taan Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri selama dua tahun, istilah ‘sementara’ boleh dipertikaikan. Sekarang.

Bekas Perdana Menteri itu boleh berjanji macam-macam, maklumlah beliau sudah berada dalam ‘blok pembangkang’ maka menabur janji adalah satu kemestian. Sama ada akan ditunaikan atau tidak, itu soal kedua. Apabila janji dituntut alasan lain pula akan dikemukakan.

Oleh itu, apabila Dr. Mahathir dengan bangga menyatakan beliau akan menyelesaikan segala masalah yang kononnya dicipta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh dua tahun, bolehkah janji itu dipercayai?
Memang tiada siapapun boleh menafikan sebagai orang yang pernah menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir mempunyai banyak pengalaman tetapi menyelesaikan masalah negara (kalau betul ada) ia bukannya boleh di­selesaikan ibarat Dr. Mahathir me­ngubah pendirian politik­nya terhadap DAP dalam sekelip mata. 

Ternyata dalam usia 92 tahun, Dr. Mahathir masih lagi bernafsu mahu menjadi Perdana Menteri seolah-olah dalam Pakatan Harapan tidak ada orang lain lebih layak.
Kasihan Anwar yang selama ini disanjung sebagai pemimpin unggul pembangkang. Beliau tidak lagi dilihat sebagai calon utama untuk menjadi Perdana Menteri, sebaliknya sudah diambil alih oleh Dr. Mahathir. Hanya Dr. Mahathir boleh menyelesaikan masalah negara, Anwar tidak mampu, itulah mesej yang mahu disampaikan oleh Dr. Mahathir.

Presiden PPBM, Tan Sri Muh­yiddin Yassin juga tidak layak, mungkin sesuai sekadar menjadi ‘kuli’ seperti mana beliau nyatakan. Kalau ikut kenyataan Dr. Mahathir hanya beliau boleh selesaikan semua masalah bak dialog filem Tiga Abdul versi Pakatan Harapan, 

“lebih berpengalaman daripada Anwar, lebih berpengalaman daripada Muhyiddin...”

Maklumlah 22 tahun menjadi Perdana Menteri bukannya se­perti Anwar dan Muhyiddin yang tidak sempat menjadi Perdana Menteri. Anwar dipecat oleh Dr. Mahathir kerana dianggap tidak layak menduduki jawatan itu manakala Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet selepas dilihat menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pentadbiran Najib.

Kedua-dua mereka tidak mampu selesaikan masalah negara dalam dua tahun kerana Dr. Mahathir sendiri berkata: 

“Bagi yang pertama kali jadi Perdana Menteri memanglah tidak mencukupi, tetapi saya ada pengalaman 22 tahun dan tak perlu belajar jadi Perdana Menteri.”

Oleh itu, tidak perlulah penyokong-penyokong PKR mahupun pemimpin mereka bermimpi untuk melihat Anwar menjadi Perdana Menteri, begitu juga penyokong berjiwa Melayu tegar dalam PPBM, tidak payah­lah berkhayal untuk menyaksikan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri. Sudah jelas kini bahawa Dr. Mahathir sudah kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri.

Sepatutnya Dr. Mahathir berjanji dalam tempoh dua tahun menjadi Perdana Menteri, beliau akan melatih penggantinya untuk ‘belajar jadi Perdana Menteri’, malangnya keadaan itu tidak berlaku. Dr. Mahathir menggambarkan seolah-olah hanya beliau sahaja layak menyelesaikan masalah negara yang kononnya dilakukan oleh Najib.

Tetapi kita juga berhak bertanya masalah apa? Sedangkan masalah yang Dr. Mahathir tinggalkan kepada pengganti-penggantinya pun masih berlambak-lambak. Kita tidak perlu berhujah panjang mengenai perkara itu sebagai tokoh berpengalaman Dr. Mahathir pasti tahu apa masalah tersebut.

Namun Dr. Mahathir bijak bermain politik sebab itulah puak-puak dalam Pakatan Harapan yang dahulunya membenci beliau teramat sangat boleh mene­rima beliau ‘begitu sahaja’ apabila bekas Perdana Menteri itu menjadi pembangkang.

Lagipun Dr. Mahathir pandai meraih simpati termasuklah meminta maaf seperti mana beliau lakukan dalam Konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini. Antara lain beliau berkata:

“Seperti manusia lain, saya tidak mungkin sunyi daripada berkata atau me­lakukan kesalahan. Bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara. Saya mohon maaf atas semua kesilapan saya yang lalu.”

Dan mungkin selepas ini tidak mustahil, Dr. Mahathir akan mengucapkan perkataan ‘maaf’ dalam versi yang lain pula jika dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Beliau mungkin akan berkata, maaf tidak dapat lepaskan jawatan dalam tempoh dua tahun kerana banyak lagi perlu diselesaikan. 

Sepatutnya dengan pelbagai tindakan politik ‘pusi­ngan U’ yang dilakukan oleh beliau, janji-janji Dr. Mahathir sudah tidak boleh dipercayai.

Dr. Mahathir kembali mengerah kudrat dan menongkat langit bukan demi bangsa dan negara tetapi semata-mata mahu menjatuhkan Najib.

Selain itu Dr. Mahathir mahu berkuasa semula kerana melalui cara itu sahaja, beliau lihat mampu melunaskan dendam politiknya terhadap Perdana Menteri. 

Malah lebih pen­ting daripada itu seperti mana didakwa oleh pelbagai pihak sebelum ini ia juga bertujuan bagi memastikan karier politik anak kesayangannya, Datuk Seri Mukhriz terjamin.

Lagipun sehingga ke hari ini, Dr. Mahathir tidak pernah menarik balik dua kata-kata yang dianggap ‘paling klasik’ mengenai Anwar iaitu, 

“Saya tidak boleh membiarkan orang berkarakter seperti itu menggantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia , malahan saya langsung tidak mahu beliau dalam kerajaan.” dan
“Mungkin saya pernah melakukan kesilapan, tetapi memecat Anwar bukan satu daripadanya.”

Oleh itu, pemimpin dan penyokong PKR perlu bersedia ‘ditipu hidup-hidup’ oleh pemimpin yang pernah mereka gelar sebagai ‘Maha Firaun’ tersebut. ‘ Tahniahlah’!

Sumber Utusan®
 
Top