Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak puas hati terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang datang berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands tanpa sedikit pun rasa bersalah setelah merosakkan imej negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Najib harus menerima kenyataan bahawa beliau telah membawa satu kerosakan imej dan ekonomi negara paling besar dalam sejarah dan diketahui seluruh dunia.

Katanya, begitu pun tanpa rasa bersalah, Najib datang berkempen di sini dan melaungkan diri sebagai pemimpin yang hebat.

“Najib mesti tergerak hati nurani, apakah kamu ingat kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) itu salah orang lain? Kamu tak mengaku RM34 bilion hilang, wang siapa? Itu wang rakyat.

“Saya tidak setuju Najib datang seolah-olah tidak apa-apa salah. Betul mahkamah belum jatuhkan hukuman salah tapi siapa boleh nafi wang RM2.6 bilion derma masuk akaun peribadi. Saya tak mahu sentuh sangat mengenai Najib, biar dia jawab di mahkamah tapi seolah-olah semua salah kita,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana di Tanah Rata di sini semalam.

Sumber Utusan
 
Top