6 FEB: MCA yang sebelum ini semua mengetahui menentang keras kerjasama yang dijalinkan UMNO dan PAS malah pernah menggertak mahu keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) seandainya kerjasama tersebut dalam politik dijalinkan namun kini ketegangan itu semakin reda.

Malah MCA dilihat semakin menerima kerjasama itu sambil menyifatkan tiada sebarang masalah dalam hubungan kerjasama antara dua parti politik Melayu Islam itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sekiranya sekali lagi UMNO dan PAS bekerjasama bagi kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih kelak, MCA tidak mempunyai sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Malah Ka Siong berpendapat adalah lumrah jika parti pembangkang berpakat terutamanya ketika musim pilihan raya.

“Tidak, saya tidak nampak sebarang masalah jika nanti di PRK Semenyih, UMNO dan PAS mahu bekerjasama. Kerjasama seperti itu sudah banyak kali berlaku. Tidak ada masalah.

“Ini sebenarnya perkara biasa dan tidak menjadi satu persoalan, tidak mungkin kita anggap ini sebagai satu masalah,” katanya kepada media pada Sambutan Tahun Baru Cina MCA.

Ka Siong juga menyelusuri sejarah dengan menyifatkan tidak ada apa-apa yang menghairan apatah lagi sebelum ini, Pakatan Rakyat pernah membentuk komponen yang terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas PRU-12.

“Ketika itu mereka masih lagi pembangkang, mereka boleh bekerjasama. Masa itu, PAS juga menyertai DAP dan PKR. Malah ketika itu, DAP dan PAS saling menerima fahaman serta kehendak masing-masing. Kerjasama mereka begitu baik sekali.

“Jadi apa bezanya sekarang? Saya tidak nampak langsung perbezaan yang dulu dan kini. Kerjasama seperti ini sudah banyak kali berlaku. UMNO, PAS tidak ada masalah.

“Tetapi ingin saya tegaskan, kerjasama antara UMNO-PAS ini terhad apatah lagi dengan adanya komponen BN lain dengan nilai serta prinsip kita yang sendiri,” ujarnya.

Walaupun rata-rata pimpinan termasuk bekas Presiden MCA seperti Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mahu parti ini keluar sahaja seandainya kerjasama antara dua parti gergasi Melayu Islam itu berlaku, namun ada juga tidak bersetuju.

Antaranya Ka Siong sendiri yang sehingga saat akhir tidak mahu memberitahu pendirian beliau berhubung kerjasama berkenaan sebaliknya membiarkan sahaja para perwakilan membuat keputusan.

Ka Siong sendiri diasak berkali-kali malah ketika pemilihan Presiden parti itu, ianya antara isu yang dibawakan oleh pihak lawan pada masa itu dengan menyifatkan dirinya tidak berani serta boneka kepada UMNO.

Hanya MIC melalui Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berani menjalinkan hubungan dengan PAS malah yakin kerjasama antara MIC dan PAS sebenarnya akan membuahkan hasil lebih baik bagi menumbangkan kerajaan PH.

Dan ia terbukti ketika PRK Cameron Highlands, dengan berkat kerjasama serta persefahamaan antara UMNO dan PAS, akhirnya kemenangan dengan majoriti lebih besar dapat dicapai.

Seperti PRK Cameron Highlands, PAS sekali lagi telah memberi laluan kepada calon UMNO untuk bertanding manakala pihaknya akan membentuk kerjasama jentera pilihan raya untuk kawasan itu pada 2 Mac nanti.


Sumber https://www.bnpportal.com/mca-mula-terima-kerjasama-umno-pas-demi-tumbangkan-ph/


 
Top